Pages

Monday, September 30, 2019

Susah ke..?



Orang yang dah kahwin tetapi ada masalah dalam rumahtangga, berdoalah mohon pada Allah minta perkara yang baik-baik.

Orang yang dah kahwin tetapi belum dikurniakan zuriat, berdoalah mohon kepada Allah semoga suatu hari nanti kita dikurniakan zuriat.

Orang yang belum berkahwin, mohonlah kepada Allah supaya dikurniakan pasangan hidup.

Orang yang rezekinya seakan sempit, mohonlah kepada Allah semoga dilapangkan segalanya.

Orang yang ada masalah macam-macam, mintalah kepada Allah, doa supaya selesai segala masalah dan kita dapat hidup bahagia.

Orang yang banyak dosa, doalah minta ampun kepada Allah sekerap-kerapnya.

Doa doa doa dan terus berdoa. Tak perlu tunggu susah baru nak doa. Tak perlu nak tunggu disuruh, baru nak berdoa. Tak perlu nak tunggu datang mood baru nak doa.

Jangan jemu, jangan putus asa.

Percayalah kepada Allah. Ujian bermacam bentuk. Semua tu tanda kasih dan sayang-Nya kepada kita.

Tak guna mengeluh sana sini, letaklah Allah tu dekat dengan kita. Bukan jauhkan-Nya".

Saya pandang sahaja seorang lelaki yang agaknya dalam umur 50-an memberi nasihat kepada sekumpulan rombongan di hadapan sebuah masjid. Tak tahu apa puncanya dia bagi nasihat begitu.

Ada lelaki ada perempuan.

Ada 2 buah van dan 2-3 buah kereta. Macam keluarga dan saudara-mara balik dari majlis kenduri.

Saya ketika itu sedang nak pakai kasut semula. Buatlah tunduk, lambat-lambat pakai stoking nak dengar dia sedang berkata.

Menarik kata-katanya.

Teringat dahulu pernah terbaca hadis ini;

Daripada Abi Said al-Khudri radiallahuanhu, bahawa Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda,

"Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah subhanahuwataala akan mengabulkannya dengan tiga cara:

1. Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin.

2. Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak.

3.Allah akan menjauhkan darinya kejelekan". Hadis riwayat Ahmad.

Betul kawan-kawan,

Kita ni sebagai manusia memang lemah dan amat-amat memerlukan Allah sepanjang masa. Baik ketika senang atau susah, ketika sempit atau lapang, ketika bahagia atau derita, ketika ada atau tiada sesuatu.

Doa ini juga ibadah. Inilah tandanya betapa kita ini perlu taat kepada Allah, tanda diri kita hina berbanding Allah dan sudah pasti doa juga merupakan kita amat-amat berhajat kepada Allah.

Berdoalah tanpa jemu. Tak perlu putus asa selagi apa yang dihajati belum kesampaian.

Yang pasti, rapatkan diri kita kepada-Nya.

WS Adli W Muhammad,
Terus didik rapatkan diri kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...