Thursday, June 13, 2019
Sentiasa bersangka baik dengan Allah
Sangka Baik Saat Diuji
Masuk tahun ini, sudah hampir 4 tahun saya berulang-alik sejam sehala ke sekolah. Sebelum ini, lapan tahun mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lima minit perjalanan sudah sampai di depan pintu pagar sekolah.
Pada tahun 2012 saya mula mengajar di Seremban setelah berjaya berpindah dari Johor Bahru. Satu nikmat yang hebat kerana dapat duduk di rumah sendiri. Setelah dua tahun memohon tukar, Allah makbulkan doa kami berpindah. Setelah dua tahun di sekolah baru, saya menyambung pengajian. Setelah tamat cuti belajar, saya dihantar ke sekolah yang saya sedang bertugas ini.
Cikgu nampak gembira
Ada orang menyebut ayat tersebut kepada saya. Cuma persoalannya adakah saya ini benar-benar gembira? Sejujurnya, rasa tertekan itu tetap ada. Rasa ingin mengajar dekat dengan rumah itu tetap ada. Bayangkan, seawal 6.10 pagi sudah bertolak ke tempat kerja dan sampai di sana lebih kurang 7.10 pagi dengan melalui laluan yang berbukit bukau dan berselekoh tajam. Adakah situasi itu mampu memberi kegembiraan dalam hati? Kita tidak boleh menipu diri. Ada ketikanya rasa tertekan menjelma juga dalam hati kerana kita manusia. Dan saya juga termasuk dalam golongan yang adakalanya rasa lemah juga. Cuma, saya tidak mahu menzahirkan apa yang bermain-main dalam hati ini. Sebab itu ada yang mengatakan saya gembira dengan apa yang sedang saya lalui.
Sahabat semua, hidup ini pilihan. Jika saya melayan rasa di hati, saya juga yang akan menanggung kesedihan itu. Apa akan jadi pada hati saya? Tentu akan gelisah sepanjang masa. Sedangkan itu tidak baik buat diri saya. Sudah tentu saya akan stres. Mungkin saya akan jadi pendiam dan kurang komitmen terhadap kerja. Nanti, apa jadi pada anak didik saya? Bagaimana pula tugasan lain yang melibatkan rakan sekerja? Ya Tuhan, pasti banyak yang tidak baik seandainya saya terus melayan perasaan. Lalu saya mengambil langkah yang saya kira ia baik untuk diri dan orang lain. Apakah dia? Bersangka baik dengan takdir-Nya. Ya, saya berdamai dengan apa yang telah ditentukan oleh-Nya. Saya tahu ia bukan mudah. Tetapi inilah pilihan yang terbaik. Untuk menjadikan ia satu realiti, antara perkara yang saya buat ialah,
1. Melihat guru-guru yang mengajar di pedalaman yang lebih sukar daripada saya menjadikan saya malu untuk merungut.
2. Melihat sahabat di sekolah saya yang telah berulang-alik melebihi 5 tahun. Bahkan, ada yang mencelah 10 tahun. Sabarnya mereka! Jadi mengapa saya masih mahu berkira-kira.
3. Sentiasa memujuk hati dengan menyatakan semua ini ada hikmahnya. Allah mengetahui, sedang saya tidak mengetahui akan rahsia-Nya.
4. Maniskan muka dengan orang lain kerana itu juga cara kita untuk mendidik hati supaya reda dan sabar.
5. Melihat kelebihan yang ada di situ supaya saya rasa bersyukur. Misalnya ada ketua dan rakan sekerja yang memahami serta para pelajar yang baik budi.
6. Sentiasa melihat ujian Allah itu adalah yang terbaik buat diri. Apabila datang perasaan negatif, cepat-cepat menukarnya kepada yang positif. Bertindak segera akan mengelakkan kita dari terus melayan perasaan sehinggakan kita jadi sedih dan tertekan.
Sekadar ini dahulu. Semoga Allah memudahkan urusan hidup kita dan memberi kekuatan untuk kita mendepani hidup ini. Hidup bukan mudah, tetapi kita harus memilih cara yang terbaik agar kita menikmatinya dengan tenang.
Wallahua’lam
Razali Saaran
Seremban 2
Pesanan utk diri sendiri.. Nampak senang.. Tp x semudah yg di sangka.. Tp kalau terpaksa.. InsyaAllah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment